Sejarah Perusahaan reroti

Sebuah tempat bakeri di dalam bekas Kilang Gergaji Burton di Kawasan Komersial Bersejarah Eugene Blair Boulevard Biasanya rumah bakar roti kecil digunakan di kawasan luar bandar

Makanan reroti telah wujud selama beribu-ribu tahun. Seni penghasilan makanan bakeri telah dikembangkan sejak awal zaman Empayar Rom. Ia merupakan seni penghasilan makanan yang sangat terkenal kerana rakyat Rom menggemari makanan reroti dan sering memintanya untuk majlis-majlis penting seperti jamuan besar-besaran dan kenduri perkahwinan. Kerana kemasyhuran seni penghasilan reroti, sekitar 300 SM, penghasilan reroti telah diperkenalkan sebagai salah satu pekerjaan dan profesion yang disanjungi oleh orang Rom. Pembuat roti mula menyediakan roti di rumah dalam ketuhar, menggunakan pengisar untuk mengisar bijirin menjadi tepung untuk roti mereka. Permintaan terhadap barangan reroti berterusan, dan kumpulan sekerja pembuat roti (bakery guild) pertama ditubuhkan pada 168 SM di Rom. Keinginan untuk barangan reroti mengembangkan cara pembuatan reroti di seluruh Eropah dan tersebar ke bahagian timur Asia. Pembuat roti mula membakar roti dan barangan lain di rumah dan menjualnya di jalanan.

Trend ini lama kelamaan menjadi kebiasaan, dan tidak lama kemudian, produk reroti banyak dijual di tepi jalan di Rom, Jerman, London dan banyak tempat lain. Sistem penghantaran barangan reroti terus ke rumah timbul apabila permintaan meningkat secara ketara. Ini mendorong pembuat roti untuk mewujudkan satu tempat di mana orang ramai boleh membeli barangan reroti secara berpusat. Pasar terbuka pertama untuk barangan reroti telah ditubuhkan di Paris, dan sejak itu pasar perusahaan reroti telah menjadi tempat biasa untuk membeli barangan lazat dan bersosial. Menjelang zaman penjajahan, bentuk pasar perusahaan reroti sudah menjadi kebiasaan. [5]

Pada 7 Julai 1928, sebuah kedai roti di Chillicothe, Missouri memperkenalkan roti yang dihiris menggunakan mesin penghiris roti automatik, yang dicipta oleh Otto Frederick Rohwedder . Walaupun roti itu pada mulanya gagal dijual, disebabkan rupanya yang "selekeh", dan dengan fakta hirisan roti ini lebih cepat rosak, penghasilan hirisan roti ini kemudian menjadi popular.[6] Sewaktu Perang Dunia II mesin penghiris roti telah diharamkan terus, kerana logam di dalamnya diperlukan untuk kegunaan peperangan. Apabila penghiris dituntut oleh kerajaan pada ketika itu sehingga terkumpulnya 100 tan aloi logam, keputusan itu terbukti sangat tidak disukai oleh para suri rumah.[7]

Perang Dunia Kedua secara langsung menjejaskan industri perotian di UK. Sekolah bakeri ditutup pada masa ini, jadi apabila perang berakhir terdapat kekurangan tukang roti yang mahir. Ini menyebabkan kaedah baharu dibangunkan untuk memenuhi keinginan dunia terhadap roti, termasuk bahan tambahan kimia, bahan pracampuran dan mesin khusus. Kaedah lama membakar hampir terhapus sepenuhnya apabila kaedah baru ini diperkenalkan dan bidang reroti diindustrikan. Kaedah lama dilihat sebagai tidak diperlukan dan sukar dibuat dari segi kewangan. Dalam tempoh ini tidak banyak kedai roti tradisional yang tinggal.